Sabtu, 30 Mei 2015

Pertandingan Kepenggunaan Sempena Hari Pengguna Malaysia 2015

Pertandingan Kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh FOMCA. Diadakan semenjak tahun 2002, pertandingan ini menjadi saluran kepada semua lapisan masyarakat, sama ada kanak-kanak, pelajar sekolah rendah atau menengah, pelajar institusi pengajian tinggi dan orang awam, untuk menyalurkan pandangan mereka tentang isu kepenggunaan dalam pelbagai medium pertandingan. Penyertaan yang menggalakkan terhadap pertandingan ini menunjukkan kecenderungan orang ramai yang tinggi terhadapnya hingga telah menjadi sebagai salah satu aktiviti Kelab Pengguna Sekolah, khususnya di Sekolah Menengah. Pada tahun ini FOMCA telah menarik lebih ramai peserta dengan tawaran hadiah wang tunai yang berjumlah RM 250,000 untuk dimenangi. Pada masa yang sama semua peserta yang menyertai pertandingan ini juga akan diberikan Sijil Penyertaan dalam menghargai sambutan dan sokongan mereka demi menjayakan program anjuran FOMCA besar-besaran ini.

 13 jenis pertandingan kepenggunaan yang akan dipertandingkan pada tahun ini adalah seperti berikut :-
  1. Pertandingan Mengarang Esei Kepenggunaan (5 Kategori)
  2. Pertandingan Melukis Poster dan Mereka Bentuk Poster Grafik Kepenggunaan (5 Kategori)
  3. Pertandingan Melukis Kartun Kepenggunaan
  4. Pertandingan Blog Kepenggunaan (2 Kategori)
  5. Pertandingan Fotografi Kepenggunaan(2 Kategori)
  6. Pertandingan Buku Skrap Kepenggunaan
  7. Pertandingan Video Montaj (2 Kategori)
  8. Pertandingan “Speak Up” (2 Kategori)
  9. Pertandingan Mewarna Kepenggunaan
  10. Pertandingan Anugerah Penyertaan Terbanyak Peringkat (2 Kategori)
  11. Kempen Penjimatan Air ‘MyWater’ (3 Kategori)
  12. Anugerah Guru HPM (2 Kategori)
  13. Pertandingan ‘MySWITCH’ (2 Kategori)
“Anugerah Guru HPM”  juga diadakan dengan tujuan mengenal pasti guru yang bergerak aktif dalam pendidikan kepenggunaan di Malaysia dan mengiktiraf guru-guru yang bergerak secara sukarela dalam mendidik pengguna muda tentang kepentingan ilmu kepenggunaan.

Jadi apa yang ditunggu-tunggukan lagi? Ayuh kita beramai-ramai sertai dalam memartabatkan lagi sambutan Hari Pengguna Malaysia tahun ini! Borang dan maklumat lanjut tentang pertandingan boleh didapati di http://www.mypengguna.com/v6/

Pemeriksaan Awam Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya Bermula




Orang ramai kini berpeluang melihat secara dekat cadangan jajaran Mass Rapid Transit (MRT) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) melalui pemeriksaan awam yang bermula 15 Mei sehingga 17 Ogos.

Bertempat di pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan 23 lokasi lain di sekitar Lembah Klang, pameran bergerak itu berfungsi sebagai platform bagi orang ramai memberikan maklum balas tentang jajaran yang dicadangkan itu.


Tinjauan Astro AWANI mendapati hari pertama pemeriksaan awam bermula, ia mendapat sambutan positif orang ramai yang ingin tahu tentang laluan MRT kedua yang akan dibangunkan itu.


Pemeriksaan awam itu juga diterima baik sebagai satu cara orang ramai memberi pandangan mereka mengenai projek tersebut.


Bagi Loo Kok Weng yang tinggal di kawasan Kepong ingin tahu impak pembinaan MRT di kawasannya serta kemudahan-kemudahan lain yang disediakan bagi pengguna.


"Ini satu usaha yang baik daripada MRT Corp untuk mendedahkan kepada umum cadangan jajaran sebelum melaksanakannya. Saya juga ingin tahu apakah kemudahan lain seperti Park N Ride di stesen berhampiran rumah saya," katanya ketika ditemui di pameran pemeriksaan awam laluan MRT di ibu pejabat SPAD di Platinum Sentral, di sini pada Jumaat.


Salah seorang pengunjung, Afnil Syahriwan yang menetap di Putrajaya teruja apabila mendapat tahu laluan MRT kedua itu akan melalui kawasan perumahannya.


"Kebetulan saya memang tinggal di Putrajaya jadi saya nak tahu di mana laluan dia sebenarnya. Sekurang-kurangnya saya ada pilihan lain, selain menaiki kemudahan pengangkutan awam sedia ada saya boleh menggunakan pengangkutan awam akan datang ini," katanya.


Laluan yang dicadangkan mempunyai jarak 52.2 kilometer di mana 13.5 kilometer berada di bawah tanah Sejumlah 36 buah stesen, termasuk 11 stesen bawah tanah bakal dibina.


Jajaran Sungai Buloh

Orang ramai mula berkunjung di pameran pemeriksaan awam yang bermula 15 Mei sehingga 17 Ogos. - 

Laluan itu juga akan memberi perkhidmatan kepada penduduk di koridor yang mempunyai lebih kurang 2 juta penduduk dari Sungai Buloh ke Putrajaya, dan merangkumi Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, KLCC, Tun Razak Exchange, Kuchai Lama, Seri Kembangan dan Cyberjaya.


Laluan SSP yang dicadangkan adalah laluan kedua daripada tiga laluan MRT yang akan melengkapkan Projek Mass Rapid Transit Lembah Klang (KVMRT).


Selepas sesi pemeriksaan awam tamat dan jajaran muktamad diluluskan selepas mengambil kira maklum balas orang ramai, pembinaan laluan MRT itu dijangka bermula pada 2016 dan dijangka siap pada 2022.


Laluan SSP dijangka akan mencatat 529,000 penumpang sehari sekaligus akan terus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.



Sumber : Astro Awani




Pengangkutan awam naik 20 hingga 67 peratus

KHAMIS, 19 MAC 2015 @ 3:34 PM

KUALA LUMPUR: Tambang teksi dan kereta sewa dibenarkan naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta merta manakala mulai 15 Mei pula tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus. Kenaikan tambang itu yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini dibuat berikutan kenaikan kos yang ditanggung pengusaha pengangkutan awam termasuk kos penyelenggaraan. Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata penyelarasan kadar tambang itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu. Berdasarkan tambang baharu itu, penumpang teksi 1Malaysia (TEKS1M) di Pulau Pinang perlu membayar RM19.80 bagi 10km pertama berbanding RM11.80 sebelum ini, manakala penumpang TEKS1M di Lembah Klang dan Johor Bahru perlu membayar RM17.50 bagi 10km pertama berbanding RM10.80 pada kadar lama. Bagi teksi bajet di Lembah Klang dan Johor Bahru pula, penumpang perlu membayar RM14.30 di bawah kadar baharu berbanding RM10.80 pada kadar lama bagi 10km pertama; dan di Pulau Pinang, RM17.50 pada kadar baharu berbanding RM11.80 pada kadar lama dan kereta sewa pula RM14.50 berdasarkan kadar siling yang baharu. Kenaikan tambang bas ekspres untuk perjalanan seluruh negara adalah antara RM4.60 sehingga RM11. Kenaikan kadar tambang baharu ini tidak melibatkan teksi lapangan terbang dan teksi eksekutif, kata Syed Hamid. Beliau berkata penetapan kadar baharu itu terpaksa dilakukan selepas kali terakhir semakan kadar tambang teksi dan bas ekspres dibuat pada 2009. "Kami sudah mengkaji dan menilai kadar munasabah yang tidak membebankan orang ramai," katanya dengan menambah, pengusaha teksi perlu menyusun semula meter di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan kadar baharu itu. "Saya mahu semua pemandu teksi lebih patuh dan bertanggungjawab dengan pengumuman kadar baharu ini dan tidak mengambil kesempatan," kata Syed Hamid. Ditanya mengenai kadar yang akan dikenakan bagi perkhidmatan di bawah KTM Berhad dan Prasarana, beliau berkata ia hanya akan diumumkan oleh syarikat terbabit. Beliau juga menegaskan penyelarasan kadar baharu itu tidak dibuat berikutan penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuat kuasa 1 April sebaliknya mengambil kira kepentingan semua pihak. - BERNAMA TAMBANG teksi dan kereta sewa dibenarkan naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta merta. 





Sumber : Berita Harian