Rabu, 1 Julai 2015

ETS KL-Padang Besar belum boleh beroperasi - SPAD

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Kuala Lumpur-Padang Besar masih dalam proses pemeriksaan tren dan landasan dan belum boleh beroperasi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata ETS hanya boleh beroperasi selepas mendapat kelulusan SPAD.

"Kita telah memberitahu mereka (penangguhan operasi). Tapi kalau mereka (KTMB) langgar undang-undang, kita terpaksa ambil tindakan. Kita perlu periksa beberapa landasan dan tren mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mobile Operation Vehicles (MoVs) milik SPAD di sini hari ini.

Beliau berkata SPAD hanya akan memberi kelulusan untuk KTMB menjalankan operasi selepas menentukan bahawa keselamatan awam adalah terjamin ketika menggunakan perkhidmatan awam itu.

Pada Khamis lepas, KTMB mengumumkan perkhidmatan ETS sejauh 329 kilometer itu akan mula beroperasi esok dan boleh digunakan orang ramai yang ingin pulang ke utara bagi menyambut Aidilfitri.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata SPAD dijangka mengeluarkan sebanyak 400 Lesen Perubahan Sementara (LPS) untuk perkhidmatan bas tambahan sempena Aidilfitri ini.

"Pada tahun lepas kita mengeluarkan lebih 300 LPS dan kita jangka tahun ini kita akan keluarkan lebih atau sama bilangan dengan jumlah LPS yang dikeluarkan tahun lepas," katanya.

Berkenaan tambang bas, beliau berkata sebarang kenaikan tambang perkhidmatan awam mesti diluluskan di peringkat Kabinet terlebih dahulu.

Terdahulu ketika melancarkan dua unit MoVs itu, Syed Hamid berkata kenderaan itu akan berfungsi sebagai pusat operasi bergerak SPAD yang mampu menjalankan siasatan secara terus kerana ia dilengkapi dengan kemudahan pejabat termasuk perakamVIDEO, kamera litar tertutup (CCTV), kamera penglihatan malam dan kemudahan Internet.

"MoVs akan digunakan untuk kita mengeluarkan notis terhadap kenderaan awam yang melakukan kesalahan di atas jalan secara terus tanpa perlu merujuk kepada ibu pejabat SPAD terlebih dahulu dan kedua-dua unit ini akan beroperasi di sekitar Lembah Klang," katanya.


Sekian.


Sumber : Astro Awani

Perkhidmatan Sewa, Kongsi Kereta Elektrik Pertama Di Malaysia

Kuala Lumpur : Warga kota berpeluang menyewa kereta elektrik (EV) melalui program perkongsian kereta pertama di Malaysia yang dilaksanakan di bandaraya Kuala Lumpur.

Inisiatif ini bagi memberi pilihan kepada orang ramai menggunakan pengangkutan awam dan sebagai usaha mengurangkan kesesakan jalan raya.

Setakat ini terdapat 400 pengguna telah berdaftar dengan program yang berkonsepkan Mobiliti Penyelesaian Padu (Comos) dengan objektif utama menggalakkan persekitaran hijau.

Menurut Pengerusi Eksekutif CMS Consortium Eco-Tour, Datuk Seri Syed Zainal Syed Mohd Tahir, setakat ini terdapat 60 EV berteknologi hijau disediakan di sekitar bandaraya.




EV yang menggunakan kereta Renault Zoe mempunyai ciri keselamatan yang mengikut piawaian antarabangsa.

Pengguna EV dapat menyewa kenderaan itu dengan caj penggunaan minimum hanya RM6 setiap 15 minit dan RM160 untuk sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif Comos, Dr Badrulhisham Mohd. Ghazali berkata EV yang menggunakan kereta jenis Renault Zoe mempunyai ciri keselamatan yang mematuhi piawaian antarabangsa.

“EV Renault Zoe ini kami letakkan di 10 stesen yang terpilih. Apa yang pelanggan perlu buat adalah mendaftar dan mengambil kad dan nombor pin di pejabat kami sebelum ke stesen-stesen ini untuk mengambil kereta.

“Dengan adanya nombor pin dan kad yang disediakan ia bakal mengurangkan risiko kecurian. Di samping kereta tersebut turut dilengkapi dengan sistem GPS dan Airbag,” katanya kepada Astro AWANI.


Sekian.

Sumber : Astro Awani


SPAD perkenal kenderaan operasi mudah alih

KUALA LUMPUR: Pengenalan kenderaan operasi mudah alih Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memudahkan gerak kerja sekali gus menjadi pusat kawalan penguatkuasaan segera agensi itu.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, ia juga menjadi kenderaan mudah alih yang dapat menyiasat serta mengumpul maklumat yang lebih efisien semasa operasi.

"Kita berharap operasi siasatan dan pengumpulan maklumat segera dapat dibuat dengan lebih pantas dengan penambahan kenderaan mudah alih ini.

"Ia bukan sahaja menjadi kenderaan kawalan pusat operasi malah memberi arahan kepada penguatkuasa jika ada situasi pemandu yang melanggar undang-undang," katanya semasa berucap pada majlis perasmian kenderaan operasi mudah alih SPAD di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini hari ini.

Kenderaan mudah alih yang dilengkapi dengan kamera perakam video, kamera litar tertutup (CCTV), kamera visual malam, kemudahan internet, awning automatik dan pelbagai kemudahan lain itu dilihat menjadi salah satu kelebihan kepada SPAD sendiri menjelang musim perayaan ini.

Jelas Syed Hamid, untuk permulaan, sebanyak dua kenderaan operasi mudah alih akan berada di sekitar Lembah Klang.

"Kita akan lihat maklum balas dahulu, jika ada keperluan kita akan mohon lagi," katanya.

Dalam pada itu kata Syed Hamid, SPAD dijangka mengeluarkan kira-kira 300 Lesen Perubahan Sementara (LPS) kepada syarikat bas ekspres pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Angka itu sama seperti tahun lepas, namun ada kemungkinan ia akan ditambah sedikit," jelasnya.

Syed Hamid turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membeli tiket tidak sah daripada broker atau ejen tidak sah.

"Seperti di TBS ini senang kerana ada sistem elektronik. Jika semua mengikut nasihat SPAD dan membeli daripada kaunter sah, masalah ulat tiket tidak akan timbul lagi.

"Lagipun sudah beberapa tahun kebelakangan ini kita tidak mendengar apa-apa aduan mengenai ulat tiket. Maksudnya SPAD sudah mengambil tindakan tegas sebelum ini dan kini semuanya berjalan lancar," ujarnya.


Sekian.

Sumber : Astro Awani