Rabu, 1 Julai 2015

SPAD perkenal kenderaan operasi mudah alih

KUALA LUMPUR: Pengenalan kenderaan operasi mudah alih Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memudahkan gerak kerja sekali gus menjadi pusat kawalan penguatkuasaan segera agensi itu.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, ia juga menjadi kenderaan mudah alih yang dapat menyiasat serta mengumpul maklumat yang lebih efisien semasa operasi.

"Kita berharap operasi siasatan dan pengumpulan maklumat segera dapat dibuat dengan lebih pantas dengan penambahan kenderaan mudah alih ini.

"Ia bukan sahaja menjadi kenderaan kawalan pusat operasi malah memberi arahan kepada penguatkuasa jika ada situasi pemandu yang melanggar undang-undang," katanya semasa berucap pada majlis perasmian kenderaan operasi mudah alih SPAD di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini hari ini.

Kenderaan mudah alih yang dilengkapi dengan kamera perakam video, kamera litar tertutup (CCTV), kamera visual malam, kemudahan internet, awning automatik dan pelbagai kemudahan lain itu dilihat menjadi salah satu kelebihan kepada SPAD sendiri menjelang musim perayaan ini.

Jelas Syed Hamid, untuk permulaan, sebanyak dua kenderaan operasi mudah alih akan berada di sekitar Lembah Klang.

"Kita akan lihat maklum balas dahulu, jika ada keperluan kita akan mohon lagi," katanya.

Dalam pada itu kata Syed Hamid, SPAD dijangka mengeluarkan kira-kira 300 Lesen Perubahan Sementara (LPS) kepada syarikat bas ekspres pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Angka itu sama seperti tahun lepas, namun ada kemungkinan ia akan ditambah sedikit," jelasnya.

Syed Hamid turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membeli tiket tidak sah daripada broker atau ejen tidak sah.

"Seperti di TBS ini senang kerana ada sistem elektronik. Jika semua mengikut nasihat SPAD dan membeli daripada kaunter sah, masalah ulat tiket tidak akan timbul lagi.

"Lagipun sudah beberapa tahun kebelakangan ini kita tidak mendengar apa-apa aduan mengenai ulat tiket. Maksudnya SPAD sudah mengambil tindakan tegas sebelum ini dan kini semuanya berjalan lancar," ujarnya.


Sekian.

Sumber : Astro Awani

0 comments:

Catat Ulasan