Sabtu, 30 Mei 2015

Pengangkutan awam naik 20 hingga 67 peratus

KHAMIS, 19 MAC 2015 @ 3:34 PM

KUALA LUMPUR: Tambang teksi dan kereta sewa dibenarkan naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta merta manakala mulai 15 Mei pula tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus. Kenaikan tambang itu yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini dibuat berikutan kenaikan kos yang ditanggung pengusaha pengangkutan awam termasuk kos penyelenggaraan. Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata penyelarasan kadar tambang itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu. Berdasarkan tambang baharu itu, penumpang teksi 1Malaysia (TEKS1M) di Pulau Pinang perlu membayar RM19.80 bagi 10km pertama berbanding RM11.80 sebelum ini, manakala penumpang TEKS1M di Lembah Klang dan Johor Bahru perlu membayar RM17.50 bagi 10km pertama berbanding RM10.80 pada kadar lama. Bagi teksi bajet di Lembah Klang dan Johor Bahru pula, penumpang perlu membayar RM14.30 di bawah kadar baharu berbanding RM10.80 pada kadar lama bagi 10km pertama; dan di Pulau Pinang, RM17.50 pada kadar baharu berbanding RM11.80 pada kadar lama dan kereta sewa pula RM14.50 berdasarkan kadar siling yang baharu. Kenaikan tambang bas ekspres untuk perjalanan seluruh negara adalah antara RM4.60 sehingga RM11. Kenaikan kadar tambang baharu ini tidak melibatkan teksi lapangan terbang dan teksi eksekutif, kata Syed Hamid. Beliau berkata penetapan kadar baharu itu terpaksa dilakukan selepas kali terakhir semakan kadar tambang teksi dan bas ekspres dibuat pada 2009. "Kami sudah mengkaji dan menilai kadar munasabah yang tidak membebankan orang ramai," katanya dengan menambah, pengusaha teksi perlu menyusun semula meter di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan kadar baharu itu. "Saya mahu semua pemandu teksi lebih patuh dan bertanggungjawab dengan pengumuman kadar baharu ini dan tidak mengambil kesempatan," kata Syed Hamid. Ditanya mengenai kadar yang akan dikenakan bagi perkhidmatan di bawah KTM Berhad dan Prasarana, beliau berkata ia hanya akan diumumkan oleh syarikat terbabit. Beliau juga menegaskan penyelarasan kadar baharu itu tidak dibuat berikutan penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuat kuasa 1 April sebaliknya mengambil kira kepentingan semua pihak. - BERNAMA TAMBANG teksi dan kereta sewa dibenarkan naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta merta. 





Sumber : Berita Harian

0 comments:

Catat Ulasan